Wednesday 9 February 2011

NABI MUHAMMAD S.A.W SEORANG PEMIMPIN YANG IDEAL

Seorang pemimpin adalah orang yang telah diberi kepercayaan dan dipilih atas dasar kemampuan dan kepercayaan yang terhasil dari rakyatnya serta dari segi sikap kewibawaan dan kemampuan dalam mengurus masalah dunia dan kemampuan dalam mengurus masalah Akhirat. Keberhasilan seorang pemimpin ini dapat dicerminkan dan terlihat dari keadaan kehidupan rakyatnya, dari sudut sejauh mana ia dapat memakmurkan kehidupan rakyatnya dan disegani oleh rakyatnya.

Nabi Muhammad s.a.w adalah seorang pemimipin yang dipercayai oleh rakyatnya iaitu umat Islam bahkan orang diluar Islam pun mengakui kepiawaian dan kehebatannya dalam memimpin umatnya. Beliau memang tidak diciptakan kecuali menjadi pemimpin yang besar, dengan kepemimpinan yang dipercayai, dengan keperibadian yang berdasarkan kecintaan, keredhaan dan selalu berusaha.

Beliau adalah orang yang selalu melakukan musyawarah. Kecintaan orang yang mengikuti adalah syarat bagi Beliau menjadi pemimpin, kerana makruh seseorang itu menjadi imam dalam solat apabila tidak disenangi oleh makmum. Ini baru sahaja berkaitan tentang solat, apalagi jika hal tersebut terjadi di luar solat. Ini menjelaskan bahawa beliau adalah seorang pemimpin kelas, pemimpin organisasi bahkan pemimpin negara.

Nabi Muhammad s.a.w selalu mengakui dirinya seperti rakyat-rakyat biasa. Diriwayatkan bahawa ketika Beliau melakukan perjalanan, Beliau memerintahkan sahabatnya untuk menyembelih kambing, berkata seseorang, “Wahai Rasulullah saya yang menyembelihnya,” berkata seorang lagi, “Wahai Rasulullah saya yang mengulitinya,” berkata yang lain, “Wahai Rasulullah saya yang menggorengnya,” maka berkata Nabi, “saya yang akan mencari kayu bakar,” mereka berkata, “Wahai Rasulullah biar kami saja yang melakukannya,” berkata Nabi, “Aku tahu kalian melayani aku, akan tetapi aku tidak senang kalau aku dibeza-bezakan dengan kalian. Sesungguhnya Allah membenci seorang hamba yang terlihat berbeza dengan kawan-kawannya.” Subhanallah… sungguh mulia akhlak Beliau, masih adakah pemimpin seperti Beliau dimasa sekarang ini?

Ketika kaum muslimin membuat parit (khandak) di sekitar kota Madinah, Beliau pun ikut serta dalam pekerjaan itu. Kalau tidak kerana perbuatan baik yang harus diikuti oleh para pemimpin, maka Nabi tidak akan melakukan pekerjaan tersebut dan kaum Muslimin membiarkan Nabi melakukannya. Hal ini merupakan contoh langsung dari Nabi, bahawa pemimpin tak seharusnya bersikap  menunjuk dan memerintahkan orang lain untuk melakukan ini dan itu tanpa ia berperanan dan ikut serta secara langsung dalam pekerjaan tersebut.


Beliau selalu memenuhi keinginan rakyat sebagai pembebasan dari seksaan Allah. Beliau adalah orang yang sangat mengerti akan pentingnya niat dalam setiap perbuatan, seperti perkataan Beliau, “Apabila seorang pemimpin diragukan oleh rakyatnya, maka akan membawa kepada kehancuran.” Lalu bagaimana dengan pemimpin kita sekarang?? Sedangkan sebahagian besar rakyatnya telah mulai kecewa dan tak percaya lagi pada pemimpinnya serta janji-janji yang pernah terlontar dari lisannya.

Nabi Muhammad s.a.w juga adalah seorang pemimpin yang selalu memilih dan mementingkan perkara yang mudah demi umatnya selagi hal itu tidak bertentangan dengan ajaran Islam. Beliau selalu menasihati sahabatnya tentang orang yang lemah, “Carikan aku orang-orang yang lemah sesungguhnya yang membawa rezeki dan pertolongan kepada kalian adalah orang-orang yang lemah.” Beliau membenci orang yang bersikap merasa tinggi dihadapan pembantu dan fakir miskin, “Tidaklah sombong orang yang makan bersama-sama pembantunya, menunggangi keledai untuk pergi ke pasar dan mengikat kambing serta memeras susunya.” 

Dalam pada itu juga, Nabi Muhammad s.a.w adalah seorang pemimpin yang mengetahui bahawa setiap wilayah kekuasaan atau kesejahteraan adalah merangkumi seluruh rakyat, tidak hanya diperuntukkan bagi para pendukungnya sahaja tanpa mengendahkan orang-orang yang bertentangan dengannya, “Takutlah kepada doa orang yang dizhalimi walaupun dia orang kafir, karena pada saat itu tidak ada hijab baginya.”









No comments: