Sunday 27 March 2011

Hidup ini pengabdian bukan perjudian






Manusia hidup di atas dunia ini bukan secara kebetulan, bukan saja-saja, bukan juga ikut suka hendak terus hidup atau hendak mati percuma. Eh, mana ada mati percuma sekarang. Sekurang-kurangnya pun, belanja pengurusan jenazah, kain kafan dan belanja-belanja lain sehingga selesai pengebumian menelan tujuh lapan ratus ringgit. Paling 'koman' pun wak tukang gali kubur nak 'dihulur' juga seratus dua. Kasihan si wak, kadang-kadang nafkah dia bergantung sepenuhnya kepada 'odd job' macam itu, memanjat kelapa, menyabit sawit, memotong rumput, menukang rumah dan termasuklah menggali kubur. Kalau ada orang panggil adalah habuannya, kalau tidak, buatlah kerja amal sendiri di rumah.
Tapi bukan kisah wak penggali kubur itu yang hendak dibicarakan di sini. Yang hendak ditekankan ialah hidup kita ini adalah hidup yang telah ditakdirkan Allah, dan apa-apa yang ditakdirkan Allah pasti ada perancangan dan peraturannya.
Lihat sahaja perkara-perkara di sekeliling kita. Adakah kita menyangka matahari suka-suka terbit di sebelah timur pada sebelah pagi mengikut kehendaknya, atau hujan turun membasahi bumi ini tanpa kawalan, atau angin bertiup ke sebarang arah tidak tentu hala dan masa? Apa agaknya akan terjadi kepada dunia ini jika begitu keadaannya?
Lihat pula seputar kehidupan kita. Nak makan ada peraturannya, mesti mencari makanan yang elok, halal dan bersih, mesti dimasak dengan sempurna, dimasak pula mengikut selera orang yang hendak memakannya, baru boleh dimakan dengan enak. Makanan yang dijual pula mesti berlesen, terjaga kebersihannya, belum luput tempoh dan sebagainya. Pendek kata, semua perkara diambil kira.
Tetapi cuba bayangkan, bagaimana kalau dalam masa kita menuruti peraturan-peraturan tersebut dengan baik, tiba-tiba di pihak lain, peraturan yang bertentangan dilaksanakan. Semasa kita bersusah payah menjaga kebersihan, orang ramai dibenarkan melonggokkan sampah di hadapan rumah atau gerai kita yang jaraknya tidak sampai 20 meter kerana kebetulan tempat membuang sampah disediakan di situ. Adakah mereka melanggar peraturan? Tidak juga kerana tempat itu memang dikhaskan untuk membuang sampah.
Kedai tempat kita membeli ayam pula diletakkan betul-betul di sebelah kedai menjual daging babi. Adakah penjual daging babi itu melanggar undang-undang? Mungkin tidak kerana dia juga mendapat lesen daripada Majlis Daerah. Lagipun kedainya sangat bersih dan dia tidak pernah pun menjual daging tersebut kepada orang Islam.
Cuba fikirkan, adakah situasi sebegitu tidak mencabar orang-orang yang mementingkan kebersihan dan kehalalan? Sebenarnya ia sangat mencabar, apatah lagi kepada orang yang mengambil berat dan selama ini berpegang teguh kepada konsep kebersihan dan kehalalan tersebut. Rumah atau kedai yang bersih macam mana sekalipun tidak akan dikunjungi tetamu kalau di seberang jalannya terpapar landskap timbunan sampah sarap yang mengeluarkan bau busuk dan meloyakan. Kedai ayam yang tukang sembelihnya tuan mufti sekalipun barangkali tidak menggamit pelanggan jika betul-betul di sebelahnya beroperasi pula jualan daging binatang yang diberi nama manja 'khinzir' itu.
Dengan perkataan lain, apa guna kita menguatkuasakan peraturan kebersihan kalau di tempat yang bersih itu juga kita benarkan orang membuang sampah yang menghamburkan bau dan kejelikan? Apa guna kita menetapkan jualan barangan halal kalau kita juga membenarkannya bercampur aduk dengan barangan yang haram?
Apa guna kita melarang orang ramai merokok kalau kita juga menghalalkan ganja dan dadah?
Apa guna kita menguatkuasakan peraturan jalan raya kalau kita membenarkan remaja bermotoskal 'merempit' dan berlumba haram?
Apa guna kita menggalakkan perkahwinan kalau kita menyediakan kawasan-kawasan khas untuk pelacur menjalankan aktiviti mereka secara 'legal'?
Apa guna kita mengharamkan arak kalau kita meluluskan pembinaan kilang arak dengan alasan dapat mengutip cukai daripadanya?
Begitulah analoginya. Jadi, apa gunanya kita mengharamkan judi untuk orang Islam kalau kita menghalalkannya untuk orang bukan Islam, dan baru-baru ini meluluskan pula lesen pertaruhan bola sepak Piala Dunia 2010? Tidakkah ia juga satu bentuk judi yang diakui oleh semua agama tidak membawa manfaat kepada manusia?
Dalam al-Quran, pengharaman judi adalah jelas dan tidak boleh dipinda-pinda lagi. Biar apa pun alasan kita, Allah Maha Mengetahui akibatnya kepada manusia sebab Dialah yang menjadikan kita seluruhnya. Allah mengakui dalam judi dan arak itu ada sedikit manfaat, tetapi mudarat dan kerosakan yang dibawanya teramat besar. Firman Allah (maksudnya):
"Mereka bertanya kepadamu tentang khamar dan judi. Katakanlah: "Pada kedua-duanya itu terdapat dosa besar dan beberapa manfaat bagi manusia, tetapi dosa kedua-duanya lebih besar daripada manfaatnya."
(Al-Baqarah 2: 219)
Tidak ada agama yang mengatakan judi itu baik. Bahkan kelulusan lesen judi bola sepak ini turut tidak dipersetujui oleh parti-parti politik orang Cina seperti MCA dan DAP, walhal kononnya orang-orang Cinalah yang dikatakan kuat berjudi. Benarkan begitu? Tetapi kenapa pada mulanya sebilangan orang UMNO yang Melayu/Islam pula beria-ia hendak meneruskan kelulusan lesen judi ini kepada Kumpulan Berjaya?
Kelulusan ini ditentang hebat oleh pelbagai pihak. Kumpulan agama, pertubuhan (NGO) Islam, parti politik, orang ramai dan tokoh sukan termasuk 'Raja Bola' Datuk Abdul Ghani Minhat dan Presiden Persatuan Bola Sepak Terengganu, Datuk Che Mat Jusoh bangkit menyuarakan pandangan supaya kelulusan ini ditarik balik. Setelah menerima desakan demi desakan, akhirnya Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, kerajaan akan meneliti reaksi masyarakat berhubung pemberian semula lesen tersebut kepada Kumpulan Berjaya.
Sekarang, bagaimana hasil penelitian itu? Sepak mula Piala Dunia hanya tinggal lebih kurang dua minggu saja lagi. Kaki-kaki judi pula boleh jadi sudah tergedik-gedik hendak melakukan pertaruhan, atau boleh jadi pertaruhan sudah pun bermula.
Cukup-cukuplah. Negara Malaysia ini sudah tidak larat lagi menanggung bala. Jenayah rompakan, ragut, rasuah, pembunuhan, rogol, dadah, hiburan tanpa batasan, pergaulan bebas, zina, buang bayi, pergaduhan, anak derhaka kepada ibu bapa dan 1001 macam kejahatan lagi merupakan bala yang melata sekarang. Sepatutnya kerajaan mengurangkan kemungkaran ini, bukannya menambah satu lagi. Katalah lesen judi bola ini sebenarnya lesen lama yang diperbaharui semula, hakikatnya di mata masyarakat ia sesuatu yang baharu dan boleh menarik ribuan malahan mungkin jutaan orang yang dahulunya tidak pernah berjudi.
Amalan berjudi akan menyebabkan ketagihan. Bagi mereka yang sudah ketagih judi, fokus pemikiran mereka adalah kepada pejudian semata-mata sehingga mengabaikan perkara-perkara lain. Lebih teruk lagi, mereka akan mengaitkan segala yang berlaku sebagai nasib, kerana menganggap kehidupan adalah suatu perjudian yang besar. Selain itu, modal penyelesaian masalah mereka adalah tidak logik. Mereka sentiasa mencari bantuan daripada alam ghaib untuk kejayaan dalam hidup. Contohnya mereka mungkin membeli tangkal seperti 'batu hikmat' untuk meningkatkan 'tuah' semasa berjudi.
Perjudian adalah perjudian. Menang atau kalah boleh berlaku secara mendadak dan rambang. Lebih malang lagi, yang menang sedikit, yang kalah ramai. Kalah judi ini pula mengundang berbagai-bagai perkara negatif - jiwa tertekan, murung, panas baran, hilang perasaan malu, tidak mahu bercampur dengan masyarakat, tidak mempunyai pendapatan tetap, sentiasa mengalami masalah kewangan, terdorong untuk mencuri dan menipu, meminjam daripada 'along', rumahtangga porak-peranda dan banyak lagi perkara yang haru-biru.
Benarkah hidup ini pun satu perjudian? Tidak. Sebenarnya hidup ini bukanlah perjudian tetapi pengabdian; pengabdian kepada Tuhan sekalian alam. Jadi kalau sudah begitu, sempurnakanlah pengabdian itu dengan mengikut segala peraturan yang ditetapkan.
Yang mesti diingat, berjudi pasti mengundang kemurkaan Allah!

No comments: