Saturday 12 March 2011

Islam itu indah

Antara tanda-tanda keindahan Islam ialah, ia mengajar umatnya berakhlak mulia dan memelihara tingkah laku agar sentiasa berkelakuan baik walau di mana jua, ketika berinteraksi dengan siapa saja.
Contoh-contoh:
1. Adab dengan ibu bapa. Allah telah berfirman dalam kitab suci-Nya (maksudnya):
“Dan Tuhanmu telah memerintahkan supaya engkau tidak menyembah melainkan kepada-Nya semata-mata dan hendaklah engkau berbuat baik kepada ibu bapa. Jika salah seorang daripada keduanya atau kedua-duanya sekali sampai kepada umur tua dalam jagaan dan peliharaanmu, maka janganlah engkau berkata kepada mereka (sebarang perkataan kasar) sekalipun perkataan "ha" dan janganlah engkau menengking menyergah mereka, tetapi katakanlah kepada mereka perkataan yang mulia (yang bersopan santun). Dan hendaklah engkau merendah diri kepada kedua-duanya kerana belas kasihan dan kasih sayangmu, dan doakanlah (untuk mereka, dengan berkata): Wahai Tuhanku! Cucurilah rahmat kepada mereka berdua sebagaimana mereka telah mencurahkan kasih sayangnya memelihara dan mendidikku semasa kecil.”
(Al-Isra’ 17: 23-24)
Anak-anak dituntut menghormati ibu bapa, berbakti kepada mereka, mengasihi mereka dan tidak menyakiti mereka dengan apa cara sekalipun, sama ada dengan perbuatan, perkataan atau dengan memek muka sekalipun.
Hadapilah mereka dengan wajah yang manis dan ceria. Jangan palingkan muka ke arah lain ketika bercakap dengan mereka. Ketika makan bersama jangan ambil makanan dahulu daripada mereka dan jangan memasuki kamar mereka sebelum meminta izin terlebih dahulu.
2. Adab dengan ahli keluarga yang lain. Ahli keluarga yang terdiri daripada adik-beradik, bapa dan ibu saudara, sepupu-sepupu dan seterusnya adalah sebahagian daripada darah daging kita juga. Lantaran itu Allah perintahkan mukmin supaya tidak mengabaikan ahli keluarga. Firman-Nya bermaksud:
“Dan berikanlah kepada kerabatmu dan orang miskin serta orang musafir akan haknya masing-masing dan janganlah engkau membelanjakan hartamu dengan boros yang melampau. Sesungguhnya orang-orang yang boros itu adalah saudara-saudara syaitan, sedang syaitan itu pula adalah makhluk yang sangat kufur kepada Tuhannya. Dan jika engkau terpaksa berpaling tidak melayani mereka kerana menunggu rezeki daripada Tuhanmu yang engkau harapkan, maka katakanlah kepada mereka kata-kata yang menyenangkan hati.”
(Al-Isra’ 17: 26, 27, 28)
Mereka yang diberi rezeki berlebihan hendaklah membantu ahli keluarga sama ada keluarga jauh atau dekat yang kurang berkemampuan. Jika tidak mampu memberi pertolongan dengan harta, maka eratkan tali persaudaraan dengan budi bahasa dan tutur kata yang baik.
3. Adab dengan isteri. Suami adalah ketua dan pelindung keluarga. Sebagai ketua, suami hendaklah menunjukkan contoh teladan yang baik dalam pergaulan dengan isteri dan seluruh isi rumahnya. Allah memerintahkan para suami dengan firman-Nya yang bermaksud:
“…dan bergaullah kamu dengan mereka (isteri-isteri kamu itu) dengan cara yang baik. Kemudian jika kamu (berasa) benci kepada mereka (disebabkan tingkah lakunya, janganlah kamu terburu-buru menceraikannya), kerana boleh jadi kamu bencikan sesuatu, sedang Allah hendak menjadikan pada apa yang kamu benci itu kebaikan yang banyak (untuk kamu).”
(An-Nisa’ 4: 19)
Rasulullah sallallahu alaihi wasallam menjelaskan lagi bahawa apa saja kebaikan yang dilakukan oleh seorang suami terhadap isteri dan ahli keluarga akan diberi pahalah.
Dalam sopotong hadis yang disampaikan oleh ‘Aamir bin Sa’ad daripada ayahnya, Rasulullah sallallahu alaihi wasallam bersabda maksudnya,
“...dan engkau tidak mengeluarkan nafkah sedikit pun dengan hati yang ikhlas mengharap keredhaan Allah kecuali akan diberi pahala sehinggakan sesuap makanan yang kamu hulurkan ke mulut isterimu…”
(Al-Bukhari)
Apa yang dapat digambarkan melalui hadis ini ialah suami diberi pahala untuk nafkah yang dikeluarkan dan kemesraan yang ditunjukkan pada isterinya dengan menyuap makanan ke mulutnya.
Apa yang diungkapkan dalam sabda baginda tidak hanya tinggal sabda. Baginda sendiri menunjukkan contoh betapa baiknya layanan yang diberikan kepada isteri-isteri baginda. Anas bin Malik radiallahu anhu menceritakan, ketika Nabi sallallahu alaihi wasallam berada di salah sebuah rumah isteri-isteri baginda, isteri yang lain menghantar sepinggan makanan. Isteri tempat baginda berada itu telah menepis tangan baginda sehingga pinggan yang dipegangnya terjatuh lalu pecah. Baginda mengutip pinggan yang pecah itu dan mencantumkannya, lalu diletakkan semula makanan yang tumpah sambil bersabda, “Ibu kamu itu cemburu. Makanlah makanan ini!” Maka mereka pun makan. Isterinya membawakan pinggan lain yang ada di rumahnya lalu diberikan kepada Rasulullah sallallahu alaihi wasallam sebagai ganti pinggan yang pecah tadi…”
(Ibn Majah)
4. Adab dengan anak-anak. Islam bukan saja mengajar anak-anak supaya menghormati dan berbuat baik kepada orang yang lebih tua. Sebaliknya orang tua juga mesti menghormati anak-anak dan melayani mereka dengan baik. Banyak hadis sahih yang diriwayatkan oleh pada muhaddithin menunjukkan Rasulullah sallallahu alaihi wasallam begitu mengambil berat dalam melayani kanak-kanak yang masih kecil. Anas bin Malik radiallahu anhu menceritakan, ketika beliau berjalan bersama Rasulullah sallallahu alaihi wasallam, mereka terserempak dengan beberapa orang kanak-kanak. Maka Rasulullah sallallahu alaihi wasallam memberi salam kepada kanak-kanak itu.
(Al-Bukhari)
Ummu Khalid binti Khalid bin Sa’id menceritakan bahawa ketika beliau masih kecil ayahnya membawanya bertemu Rasulullah sallallahu alaihi wasallam. Baginda memakaikannya baju berwarna kuning dan bersabda, “Cantik, cantik.” Kemudian beliau menghampiri baginda sambil bermain-main dengan cincin yang dipakai oleh baginda. Ayahnya melarang berbuat demikian, tetapi baginda berkata kepada ayahnya, “Biarkanlah dia.”
(Al-Bukhari)
Semua itu hanyalah sekadar contoh. Hakikatnya, adab yang diajarkan merangkumi semua aspek, termasuklah adab dengan haiwan dan makhluk-makhluk lain sama ada makhluk bernyawa atau tidak bernyawa. Semua itu menjadi bukti bahawa Islam adalah agama yang indah. Betapa tidak? Ia diturunkan oleh Yang Maha Indah, yang suka kepada keindahan. Abdullah bin Mas’ud radiallahu anhu meriwayatkan bahawa Rasulullah sallallahu alaihi wasallam bersabda:
إن الله جميل يحب الجمال
Maksudnya: “Sesungguhnya Allah itu cantik. Dia sukakan kecantikan.”
(Muslim)

No comments: